Tarikh : Sabtu, 28 Jun 2025
Tempat : Dewan Utama Raudhah Islamic School, Semenyih
Peserta : Guru-guru dan ibu bapa pelajar
Mesyuarat Agung Tahunan PIBG Raudhah Islamic School (RIS) Semenyih kali ke-6 bagi tahun 2025 telah berjaya diadakan pada hari Sabtu, 28 Jun 2025. Mesyuarat ini telah dihadiri oleh barisan guru-guru RIS serta ibu bapa pelajar yang hadir bagi menyatakan sokongan terhadap pembangunan sekolah dan penglibatan komuniti dalam pendidikan anak-anak.
Mesyuarat dimulakan dengan bacaan doa dan ucapan aluan oleh Pengerusi Majlis. Agenda utama mesyuarat berjalan lancar dengan penglibatan aktif daripada para hadirin. Antara agenda yang telah dibincangkan dan disahkan dalam mesyuarat kali ini adalah seperti berikut:
-
Pembentangan dan Pengesahan Minit Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-5
Minit mesyuarat kali ke-5 dibentangkan dan telah disahkan sebulat suara oleh para hadirin. -
Pembentangan dan Pengesahan Laporan Aktiviti Tahunan Kali ke-5
Laporan aktiviti yang melibatkan program-program sekolah, kerjasama komuniti dan sumbangan PIBG telah dibentang dan diterima dengan baik. -
Pembentangan dan Pengesahan Penyata Kewangan Tahunan berakhir 31 Disember 2024
Penyata kewangan telah dibentangkan secara terperinci dan disahkan setelah mendapat persetujuan majoriti. -
Pembubaran Ahli Jawatankuasa PIBG Sesi 2024/2025
Ahli jawatankuasa sedia ada telah dibubarkan secara rasmi bagi memberi laluan kepada barisan kepimpinan baharu. -
Pemilihan Ahli Jawatankuasa PIBG Sesi 2024/2025
Proses pemilihan berjalan dengan lancar dan demokrasi. Senarai penuh ahli jawatankuasa baharu akan diumumkan secara rasmi oleh pihak sekolah.
Mesyuarat kali ini turut mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih kepada mantan Yang Dipertua PIBG, En. Shahril, serta seluruh barisan jawatankuasa PIBG sesi 2024/2025 atas segala jasa dan komitmen yang telah mereka curahkan sepanjang tempoh perkhidmatan. Sumbangan mereka amat dihargai dan menjadi pemangkin kepada kemajuan dan kecemerlangan sekolah.
Semoga barisan jawatankuasa PIBG yang baharu dapat meneruskan legasi yang cemerlang dan terus memperkukuh kerjasama antara pihak sekolah dan ibu bapa dalam mendidik generasi masa depan.
Disediakan oleh:
Unit Media Raudhah
28 Jun 2025